11 December, 2008

SECONDARY SCHOOL

Tahun 1984 saya mula menjejakkan kaki ke Sek.Men.Dato Sheikh Ahmad, Arau Perlis ( kini Sek.Men.Keb.Dato Sheikh Ahmad-difahamkan sekolah elit sekarang ). Tahun 1986 mengambil Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran Malaysia ( kini PMR ). Selepas mengetahui keputusan, maka dapatlah meneruskan pengajian di Tingkatan Empat dan seterusnya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1988.
Semasa belajar di Tingkatan Empat, sempatlah menjadi Pelakon dalam Pertandingan Drama Sekolah-Sekolah Perlis dan berjaya menang Tempat Pertama. Tajuk drama "Rimba Bukan Belantara" Anjuran Bersama KPM dan TV3. Dapat pula gelaran "Pelakon Terbaik". Seronok juga. Antara nama kawan-kawan yang saya ingat ialah Khairul Anuar Yahaya ( kini bertugas di TNB kangar ), Ramlan Amir, Jiniah Saliun dan ramai lagi "bintang-bintang sekolah".
Menunggu keputusan SPM, sempatlah juga mengambil upah menanam tembakau di Kg. Cikgu Ali, mengutip cili dan mengisi padi ke dalam guni. Dapatlah duit poket sendiri. Selepas tahu keputusan SPM, dapatlah meneruskan pelajaran di Tingkatan Enam Rendah di sekolah yang sama. Semasa di Tingkatan Enam Rendah, dilantik pula menjadi Ketua Tingkatan Enam Sastera Satu. Semasa di Tingkatan Enam Rendah, saya menceburi pula bidang pantun kerana ada Pertandingan Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Malaysia. Maka berpantunlah saya hingga berjaya mewakili negeri Perlis ke Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam. Antara kawan-kawan pemantun yang masih saya ingat ialah Noor Azly Rosly, Sharmila Saidin.
Tahun 1990, belajar di Tingkatan Enam Atas sehinggalah mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Masa itu, cikgu-cikgu melantik saya menjadi Pengawas Sekolah, satu jawatan yang memang tak minat tetapi "dipaksa" kerana kata seorang cikgu, sayalah murid paling senior di sekolah itu. Cikgu "paksa" saya jadi Ketua Pengawas Sekolah ( satu jawatan glamour, tapi penuh cabaran ), pun saya tak mahu kerana niat hati hanya hendak belajar sahaja. Akhirnya seorang pelajar dari Sek.Men.Tambun Tulang yang hanya saya ingat "Che Pa" dilantik sebagai Ketua Pengawas Sekolah pada masa itu. Selepas mengambil peperiksaan STPM, menunggulah saya akan keputusannya...

No comments: